UPSI Terbilang di Hamparan Warisan
Tiga Generasi
Pendahuluan
Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam
yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang
secara bertahap dari sebuah kolej ke sebuah universiti. Agak menarik apabila
meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan
sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman
yang sama. Secara kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC
(29 November 1922 - 1957), era MPSI (1957 - 1987) dan era IPSI (21 Februari
1987 - April 1997). Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik
yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997
bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini
diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan)
1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi
Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.
Maktab
Latihan Guru
Peranan
R.O. Winstedt tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang
mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab pusat bagi melatih guru dan
bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Ilham ini timbul setelah
kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa
ke Persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.
Beliau
juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu
mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang
banyak berteraskan kepada kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih
juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan
berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan ialah komposisi
penduduknya haruslah sederhana ramai.
Lokasi
Dalam
proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjong Malim dilihat sebagai
satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi
sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt. Pada 26 Mei 1917, Tanjong Malim
secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab. Tanah seluas 64 hektar
telah dibeli di Tanjong Malim dengan harga $49,000.00 untuk dijadikan kampus
dan kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Ogos 1919. Reka bentuk bangunannya
berunsur seni bina ala-Gothic Zaman Pertengahan. Pada tahun 1922, pembinaan maktab
siap sepenuhnya. Pada 29 November 1922 SITC dirasmikan oleh Sir W. George
Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Sultan Idris Training College (SITC)
Pada
tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan
Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan baginda Sultan.
Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai
mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum
DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang
ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 - 1916.
Penubuhan
SITC dianggap sebagai satu era baru yang menyemarakkan alam pemikiran dan
pendidikan bangsa Melayu. Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Tuan Wolffe
dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa, hari tersebut
menandakan titik bersejarah bagi orang Melayu kerana ia (penubuhan SITC) merupakan
titik tolak dalam perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Menurutnya lagi,
orang Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar serta penghargaan yang tidak
ada tolok bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak Melayu.
SITC
berkembang pantas. Kemasukan pelatihnya pula tidak terbatas hanya kepada orang
Melayu di Tanah Melayu, malah meluas hingga ke Brunei, British Borneo dan
Singapura. Pada bulan Mac 1924, SITC mengeluarkan guru terlatihnya yang pertama
seramai 58 orang. Jumlah guru terlatih yang dikeluarkan terus meningkat dari
setahun ke setahun. Dalam era ini jugalah bermulanya usaha membina peradaban
bangsa menerusi bahasa Melayu. Pejabat Karang-Mengarang menjadi lidah rasmi
yang memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda. Usaha ini berkembang subur di
tangan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.
Kurikulum
latihan perguruan di SITC tertumpu kepada pengetahuan asas keguruan di samping
kraf tangan dan pertanian. Sejak ditubuhkan, institusi ini terus unggul
berbakti kepada bangsa dan negara. Ia disifatkan sebagai ‘universiti’ yang
unggul bagi melatih guru-guru Melayu.
Pengambilan Pelajar SITC
Bermula
19 November 1922, pengambilan kumpulan pertama pelatih lelaki berjumlah 115
orang telah mendaftar. Beberapa hari selepas pendaftaran itu, sejumlah lima
orang pelatih lagi diterima masuk yang membawa jumlah keseluruhannya 120 orang.
Kumpulan pertama guru pelatih ini sebenarnya terdiri daripada 70 orang dari
Maktab Perguruan Melayu Melaka dan 50 orang lagi dari Maktab Perguruan Matang.
Jumlah tenaga pengajarnya pula adalah seramai empat orang berbangsa Eropah,
tujuh orang guru Melayu, seorang guru anyaman dari Manila dan seorang guru
al-Quran dari Matang. Mereka ialah O.T. Dussek (Pengetua), M.R. Holgate, W.B.O.
Sir Williams, D.H. Ghrist, Mohammad Hashim Hj Taib, Noordin Hj Harun, Ibrahim
Dato’ Muda Linggi, Abdul Rahman Hj Muhyiddin, Hanafiah Md Saman, Mohamad Said
Hj Hussin, Abdul Hadi, Mr. W. Olaguera (Manila) dan Lebai Jaafar Abdul Rashid
(guru al-Quran). O.T. Dussek dilantik sebagai Pengetua SITC yang pertama. Pada
tahun 1923 jumlah tenaga pengajar bertambah. Pertambahan ini melibatkan sepuluh
orang guru berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Filipina. Guru-guru ini pada
asalnya merupakan tenaga pengajar dari Maktab Perguruan Matang yang telah
ditutup dan sebahagiannya dari Maktab Perguruan Melaka.
Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)
Pada
tahun 1957 nama SITC ditukarkan kepada nama Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI). Langkah ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak. Dari tarikh
ini bermulalah eraMPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu,
apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai orang Eropah beralih tangan
kepada cendekiawan Melayu.
Meskipun
berubah pada nama, namun tradisi SITC menjadi akar yang menumbuhkan
kecemerlangan institusi ini dalam era MPSI dan era-era seterusnya.
Peranan MPSI tidak setakat melatih dan mendidik bakal guru, namun
menjadi medan pengungkap bicara dan suara hati para cerdik pandai dan
nasionalis Melayu. Pembinaan bahasa Melayu sebagai satu korpus dikukuhkan lagi
dengan kemunculan tradisi penulisan kreatif dalam kalangan guru pelatih dan
tenaga pengajar. Tradisi ini sudah bermula pada era SITC di tangan Harun
Aminurrashid dan Punggok, tetapi berkembang luas dalam era MPSI. Pada waktu
inilah munculnya beberapa tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu.
Antaranya ialah A. Wahab Ali, Ali Majod, Kasmani Haji Arif, Awang Had Salleh,
Hassan Ali, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon
Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S.N., Yura Halim dan lain-lain lagi.
Pada
13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya apabila menerima 140 orang
penuntut perempuan. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan senario baru dalam
tradisi MPSI. Meskipun penuntut perempuan diterima masuk,
namun MPSI terus ke hadapan sebagai sebuah institusi perguruan yang
cemerlang dan terunggul tanpa membezakan taraf dan jantina.
Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI)
Era MPSI berakhir
pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan
menjadi sebuah institut dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Era
IPSI merupakan satu zaman mencabar, kerana kedudukannya sebagai sebuah
institusi tidaklah hanya meninggikan nama semata-mata, tetapi turut melonjakkan
harapan anak bangsa dan masyarakat Melayu serta kerajaan yang mentadbir untuk
melihat IPSI benar-benar menjadi tonggak harapan bagi mempertingkatkan taraf
pendidikan rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Justeru, IPSI mengorak langkah
panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Antaranya ialah mengadakan
Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI) bermula pada tahun 1988. Pada tahun 1993 Kursus Kembaran dengan
Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu
dan Pendidikan Jasmani.
Peranan
SITC dan MPSI telah diperkasakan dalam era IPSI menerusi rangkaian
kerjasama pengajian yang diadakan dengan pihak-pihak lain di luar IPSI. Ruang
lingkup dan sempadan jangkauan IPSI merentas tembok itu sendiri. IPSI bergerak
seiring dengan kemajuan institusi-institusi pengajian tinggi awam lain dalam
konteks merealisasikan matlamat kerajaan untuk menghasilkan tenaga pengajar
yang berwibawa dan bermanfaat demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Peranan
IPSI berterusan hingga ke tahun 1993 apabila pada masa itu sistem latihan
perguruan mengamalkan sistem bersepadu, iaitu sesebuah maktab perguruan melatih
guru-guru untuk sekolah rendah dan menengah.
Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI)
Genap
usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah
yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai
sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan
P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997,
tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan
nama singkatannya UPSI.
Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula beroperasi pada 2 Mei 1997 dengan
pelajarnya seramai 350 orang. Datuk Dr. Ashari Che Mat telah dilantik sebagai
Naib Canselor Pertama manakala Profesor Dr. Abu Bakar Nordin (kini bergelar
Dato’) sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik. Mereka dibantu oleh Encik
Sayuti Sahlan, Encik Yusof Semahil dan Encik Rusley Taib untuk membangunkan
UPSI dalam serba kekurangan.
Berbekalkan
enam orang kakitangan pentadbiran dan 29 orang tenaga akademik yang
kebanyakannya dipinjamkan dari pelbagai agensi Kementerian Pendidikan Malaysia,
UPSI mengorak langkah ke gelanggang pendidikan dengan semangat dan cita-cita
murni. Ternyata, tidak mudah bagi UPSI menarik nafas lega, kerana terpaksa
berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kekentalan semangat dan iltizam beserta
dorongan Kementerian Pendidikan, UPSI menapak langkah demi langkah membina
kekuatan diri berdiri atas kemampuan sendiri yang akhirnya berjaya menempatkan
dirinya seiring dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang lain waktu
ini.
Pembangunan
infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori pada tahun 1999 dan
Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu. Pada awal tahun 2001, pembangunan
semakin rancak dilaksanakan dengan pembinaan Gimnasium, Perpustakaan,
Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik, dewan-dewan kuliah dan lain-lain.
Beberapa kemudahan sedia ada yang merupakan warisan SITC-MPSI-IPSI dibaik pulih
dengan beberapa pembaharuan, sesuai dengan kemajuan teknologi di samping
mengekalkan struktur asalnya. Pembangunan yang rancak ini telah menampilkan
imej UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi. Nama UPSI terpancar sebagai
simbol keunggulan institusi ini sebagai sebuah universiti yang sepenuhnya
menawarkan program pengajian pendidikan baik di peringkat ijazah sarjana muda
mahupun lanjutan.
Pada
awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang menawarkan sepuluh program
pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial
danKesenian, Fakulti Sains dan Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan
Pembangunan Manusia. Jumlah program pengajian bertambah dari tahun ke tahun.
Pada tahun 2002, dua buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan
dan Ekonomi dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah
fakulti sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat
ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang
dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian
bertambah.
Sehingga
kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut
adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan
Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan
Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa
dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan
Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri
Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program
Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan
Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian
Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70
Program Doktor Falsafah).
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah
Majlis
Pecah Tanah Kampus Sultan Azlan Shah telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri
Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 22 April 2002. Dalam titah
perasmiannya baginda telah mengumumkan nama kampus utama UPSI sebagai Kampus
Sultan Abdul Jalil Shah yang lokasinya di Tanjung Malim manakala untuk kampus
baru di Proton City diberi nama Kampus Sultan Azlan Shah.
Kampus
Sultan Azlan Shah Kampus Sultan Azlan Shah telah dirancang bermula sejak
Rancangan Malaysia Ke-8 lagi. Dengan adanya kampus baru ini, infrastruktur
pengajaran dan pembelajaran di UPSI dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih
sempurna sejajar dengan kehendak kerajaan bagi memperkasa dan meningkatkan mutu
pendidikan institut pengajian tinggi awam.
Pada
20 Februari 2012, Kampus Sultan Azlan Shah dengan rasminya beroperasi dengan
menempatkan beberapa fakulti seperti Blok 1 - Blok 6 untuk Fakulti Sains &
Matematik, Blok 7 - Blok 9 untuk Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Blok 10 untuk Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Dewan Kuliah Berpusat, Dewan
Besar dan Panggung Percubaan, Kafetaria, Rotu, Balai Pengawal dan Pos Pengawal,
Pusat Pelajar, Pusat Komputer, Surau dan Pusat Islam.
Kampus
ini terletak berdekatan kira-kira 8 km dari kampus sedia ada iaitu Kampus
Sultan Abdul Jalil Shah. Tapak yang bertempat di Bandar Baru Proton City ini
akan memberikan satu impak pembangunan kepada kawasan sekitar terutamanya
kepada bandar Proton City. Kampus yang berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar
Proton dan Kilang Proton ini juga lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan
kehijauan Banjaran Titiwangsa yang segar dan mengasyikkan. Keindahan sumber
alam semulajadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk
menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar. Kampus baru ini telah
dirasmikan dengan jaya dan penuh bersejarah oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 16 Jun 2012.
Kemasukan Pelajar UPSI
Jika
dilihat dari segi bilangan pengambilan pelajar dalam tempoh lima belas tahun
(1997 - 2012), peratus pengambilan amat besar jika dibandingkan dengan
perancangan awal penubuhan universiti ini. Minat pelajar lulusan STPM, Diploma
atau yang setaraf dengannya amat tinggi sekali dan umum mengetahui bahawa UPSI
adalah IPTA paling popular menjadi pilihan pelajar. Dari seramai 338 orang
pelajar pada tahun 1997, sehingga kini (2012) enrolmen pelajar UPSI menjangkau
30,087 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 5,476 pelajar Diploma Pendidikan, 308
pelajar diploma dan pelajar pasca siswazah seramai 2,164 orang. Jumlah
keseluruhan enrolmen pelajar UPSI 2012 adalah 29,075 orang. Sehingga Istiadat
Konvokesyen Ke-14 yang berakhir pada 9 Mei 2012 lalu (1999–2012), UPSI telah
melahirkan seramai 38,035 graduan sarjana muda, diploma, dan ijazah lanjutan
(Kedoktoran dan Sarjana).
Sumber:http://www.upsi.edu.my/index.php/pengenalan/lakasi/34-bahasa-melayu/211-sejarah-upsi